UCAPAN Y.B. DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
SEMPENA PELANCARAN HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA
PUTRAJAYA, 12 MAC 2009
Y.Bhg Tan Sri Dato’ Seri Dr Hj Mohd Ismail bin Merican,
Ketua Pengarah Kesihatan.
Y.Bhg Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar Suleiman,
Presiden, Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia.
Yang Berusaha Dr Goh Bak Leong,
Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2009.
Dif-dif kehormat,
Dato’-Dato’, Datin- Datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.
Selamat pagi dan Salam sejahtera.
1. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Yayasan Buah Pinggan Kebangsaan Malaysia (National Kidney Foundation) dan Persatuan Nefrologi Malaysia yang telah berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menjayakan sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2009 ini.
2. Hari Buah Pinggang Sedunia 2009 melambangkan satu peluang keemasan untuk kita bekerjasama demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia. Bersama, kita boleh meningkatkan kesedaran rakyat berkenaan kepentingan fungsi buah pinggang, pengesanan awal, dan pencegahan kerosakan buah pinggang.
3. Peningkatan penyakit buah pinggang adalah amat ketara di negara-negara membangun. Jumlah ini dianggarkan akan meningkat pada masa hadapan disebabkan oleh beberapa faktor seperti peningkatan jumlah pesakit kencing manis, darah tinggi dan masalah obesiti, serta peningkatan jumlah peduduk warga tua.
4. Dianggarkan sebanyak 10% penduduk sedunia sedang menghidapi penyakit buah pinggang (chronic kidney disease). Malangnya kadar penyakit ini belum di kenalpasti lagi di Malaysia.
5. Namun begitu, kita mengetahui jumlah pesakit kegagalan buah pinggang yang menjalani rawatan dialisis atau pemindahan buah pinggang. Data dari National Renal Registry menunjukkan peningkatan jumlah pesakit dialisis baru dari 56 pesakit bagi setiap juta penduduk pada tahun 1998 kepada 130 pesakit bagi setiap juta penduduk pada tahun 2007. Dengan itu, jumlah pesakit yang menerima rawatan dialisis telah meningkat dari 4,540 pada tahun 1998 kepada 16,719 pada akhir tahun 2007.
6. Pada tahun-tahun kebelakangan, lebih 3,500 orang pesakit baru didapati memerlukan rawatan dialisis setiap tahun. Saya difahamkan terdapat lebih kurang 18,000 orang menjalani rawatan dialisis pada masa kini. Angka ini akan mencapai lebih 20, 000 menjelang tahun 2010.
7. Perbelanjaan untuk rawatan ini adalah sangat tinggi dan membebankan. Kajian oleh Clinical Research Centre, Hospital Kuala Lumpur melaporkan kos perbelanjaan keseluruhan untuk rawatan dialisis pada tahun 2005 mencapai tahap RM 380 juta.
8. Badan-badan kesihatan dan komuniti Nefrologi seluruh dunia menghadapi kesukaran dalam langkah-langkah pencegahan masalah ini. Hanya sebilangan kecil sahaja, sama ada di negara maju atau yang membangun, mampu menampung perbelanjaan tersebut dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang. Ini tidak mengambil kira kesengsaraan yang ditanggung oleh pesakit. Oleh itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengiktiraf penyakit buah pinggang sebagai satu masalah kesihatan awam.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
9. Pada tahun 2007, 57% pesakit dialisis baru di Malaysia didapati menghidapi penyakit kencing manis, manakala 7% menghidapi penyakit darah tinggi. Malaysia dikenalpasti sebagai negara yang mempunyai peratusan yang paling tinggi di dunia di mana punca utama penyakit buah pinggang adalah penyakit kencing manis atau diabetes. Peningkatan ketara penyakit kencing manis dan darah tinggi sebagai penyumbang utama penyakit buah pinggang amatlah membimbangkan kerana penyakit-penyakit ini berkaitan dengan gaya hidup yang boleh dikawal dan dicegahi.
10. Saya ingin menekankan di sini bahawa langkah-langkah pencegahan adalah amat penting untuk memerangi penyakit ini. Walaupun sebab-sebab keturunan yang boleh mengakibatkan penyakit ini tidak dapat dielakkan, faktor lain seperti amalan pemakanan yang tidak sihat, cara hidup yang kurang aktif, masalah obesiti dan menghisap rokok sepatutnya boleh dikawal.
11. Kawalan faktor-faktor ini boleh mengurangkan risiko mengidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi. Ia juga boleh mengurangkan komplikasi yang boleh disebabkan oleh penyakit buah pinggang. Pengesanan awal, rawatan bersesuaian dan keupayaan mengawal faktor-faktor penyebab boleh mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit buah pinggang dan kerosakan organ-organ lain di dalam badan.
12. Seperti di kebanyakan negara-negara maju yang lain, ramai yang menghidapi penyakit buah pinggang kronik di negara ini hanya mengetahui tentang penyakit tersebut setelah kerosakan telah lama berlaku. Walaupun telah diberitahu, sebahagian besar masih tidak mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Bagi mereka yang menerima rawatan pula, rawatan yang diterima masih tidak mencukupi. Ini secara tidak langsung memainkan peranan dalam peningkatan masalah global penyakit buah pinggang.
Tuan-tuan dan puan-puan.
13. Kita perlu menggandakan usaha bagi menggalakkan pengesanan dan penilaian awal bagi pencegahan sesuatu penyakit yang boleh dicegah. Malangnya cara pencegahan yang mudah dan senang serta faedah pencegahan yang terbukti keberkesanannya tidak diketahui ramai.
14. Malaysia boleh dikatakan telah berjaya di dalam menjalinkan kerjasama di antara kerajaan, badan-badan NGO, badan kebajikan dan sektor swasta di dalam memberi rawatan hemodialisis. Kita seharusnya meneruskan usaha sama ini dengan meluaskan program pencegahan penyakit buah pinggang. Saya menggesa agar semua organisasi yang berkaitan sama ada pihak swasta, NGO dan badan kerajaan menyokong usaha kami untuk menjayakan program pencegahan penyakit ini.
15. Orang awam, terutamanya golongan yang berisiko tinggi digalakkan melalui ujian saringan bagi mengesan penyakit buah pinggang. Oleh yang demikian, tugas yang dijalankan oleh “NKF LifeCheck Mobile Health Screening Unit” adalah tepat pada masanya bagi membolehkan pengesanan awal dan seterusnya pencegahan penyakit buah pinggang.
16. Saya percaya perkhidmatan ini dapat membantu terutama kepada mereka yang tinggal di kawasan di mana perkhidmatan kesihatan sukar diperolehi seperti di kawasan luar bandar. Ini selaras dengan matlamat Kementerian Kesihatan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan dinikmati oleh semua rakyat Malaysia.
17. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan NKF LifeCheck kerana telah berjaya melakukan pemeriksaan ke atas lebih daripada 24,000 rakyat Malaysia semenjak perkhidmatan ini dilancarkan pada bulan Januari tahun lepas.
18. Tahniah juga diucapkan kepada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (National Kidney Foundation) dan Persatuan Nefrologi Malaysia di atas kerjasama yang dilakukankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menjayakan kempen “Bringing Kidney Care to Your Doorstep”. Kempen ini telah berjaya menjalankan pemeriksaan dan saringan kesihatan kepada rakyat Malaysia dari Kangar, Perlis yang bermula pada 6 Mac ke Alor Setar, Bukit Mertajam, Sungai Siput sehingga ke hari ini di Serdang.
19. Akhirnya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong “roadshow” Hari Buah Pinggang Sedunia 2009 yang bermula di Kangar di utara hinggalah ke Serdang. Ini termasuk badan NGO seperti Rotary Club, Lions Club dan juga hospital serta jabatan di Kementerian Kesihatan yang telah memberi sumbangan yang bernilai. Kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kempen ini, kami berharap lebih banyak kerjasama sebegini dapat diteruskan di masa depan.
Terima kasih.
No comments yet.