UCAPAN YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN KEMPEN KEBERSIHAN AWAM
BAGI MENANGANI PANDEMIK INFLUENZA A (H1N1) PERINGKAT KEBANGSAAN
PUSAT KONVENSYEN SUNWAY PYRAMID
PADA 20 JULAI 2009
Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yassin,
Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Y.B Datuk Seri Kong Cho Ha,
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Y.B Datuk Seri Panglima Haji Lajim bin Haji Ukin,
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Y.Bhg. Dato’ Ahmad b. Haji Kabit,
Ketua Setiausaha,
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Y.Bhg. Dato’ Sri Dr. Hj. Mohd Nasir b. Mohd Ashraf,
Ketua Setiausaha,
Kementerian Kesihatan Malaysia.
Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Hj. Mohd. Ismail bin Merican,
Ketua Pengarah Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia.
Y.Bhg. Tan Sri-Tan Sri, Dato’ Seri-Dato’ Seri, Dato’-Dato’, Datin- Datin, Dif-dif Kehormat,
Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin yang saya hormati sekalian,
Selamat pagi dan salam sejahtera.
1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang sudi menjemput saya untuk memberikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Kempen Kesihatan Awam Bagi Menangani Influenza A (H1N1) Peringkat Kebangsaan. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di atas daya usaha bagi menangani penularan pandemik Influenza A (H1N1) ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan dari Pihak Berkuasa Tempatan seluruh negara juga menjadi manifestasi komitmen dan iltizam tuan-tuan dan puan-puan dalam membantu menangani penularan penyakit ini.
Hadirin dan Hadirat sekalian
2. Kejadian kes pandemik Influenza A (H1N1) pada tahun ini masih membimbangkan. Pada tahun ini, iaitu sehingga 16 Julai 2009 jam 8.00 pagi, jumlah terkumpul kes influenza (H1N1) di Malaysia adalah sejumlah 835 kes yang terdiri daripada 562 kes import dan 273 kes jangkitan tempatan. Setakat ini, tiada kematian dilaporkan.
3. Merujuk kepada situasi global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa sehingga 16 Julai 2009 jam 8 pagi, jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) yang dilaporkan ke WHO adalah sebanyak 116,954 kes dengan 557 kematian daripada 146 negara. Lima negara yang melaporkan bilangan kes tertinggi adalah Amerika Syarikat (37,212), Mexico (11,699), Australia (10,389), Kanada (9,717) dan Chile (9,135). Pada 8 Julai 2009, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menamakan penyakit yang melanda dunia ini sebagai Pandemik (H1N1) 2009.
4. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menyediakan pelan “National Influenza Pandemik Preparedness Plan” (NIPPP) yang melibatkan pelbagai agensi. Pencegahan penularan Pandemik Influenza ini bukan hanya menjadi tanggungjawab Kementerian Kesihatan Malaysia malah telah menjadi tanggungjawab semua agensi. Pihak Berkuasa Tempatan juga memainkan peranan yang penting bagi memastikan kebersihan dan kesihatan awam di lokaliti mereka berada pada tahap yang optimum. Ini secara langsung dapat mencegah penularan penyakit kerana penyakit ini merebak melalui titisan cecair pernafasan yang terkena pada tangan pesakit, permukaan-permukaan atau yang tersebar di udara. Seterusnya, seseorang akan dijangkiti sama ada melalui pernafasan, melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan yang tercemar.
5. Seperti yang kita sedia maklum, virus influenza A(H1N1) adalah virus baru dan kita semua tiada imuniti kepada jangkitan ini. Jika penularan dalam komuniti ini tidak dikawal dengan baik, penularan akan meluas dengan cepat dan akan melibatkan kes-kes yang banyak dan jika keadaan ini tidak terkawal, kejadian kes berkomplikasi akan berlaku termasuk kematian.
6. Untuk membendung pandemik ini di Malaysia (iaitu to slow the spread), aktiviti kawalan dan pencegahan yang sedia ada perlu diperkukuhkan lagi melalui 3 prinsip pelaksanaan ke arah mitigasi kawalan wabak. Tiga prinsip ini adalah seperti berikut.
7. Prinsip pertama: Tindakan kawalan yang perlu diambil oleh individu dan masyarakat. Orang awam dan komuniti perlu bersama-sama mengambil tindakan pencegahan dan kawalan. Aktiviti penjarakan sosial (social distancing), mengurangkan perjumpaan (gatherings), etika batuk (cough etiquette), kebersihan tangan (hand hygine) dan pengudaraan dalam rumah yang baik (household ventilation). Aktiviti pencegahan dan kawalan ini oleh orang awam adalah berkesan untuk memperlahankan penularan penyakit dalam masyarakat. Di tempat kerja termasuk institusi dan sekolah, pemantauan kesihatan dari semasa ke semasa perlu diperkukuhkan. Ketidakhadiran ke tempat kerja yang luar biasa juga perlu dipantau sama ada berkaitan dengan jangkitan influenza.
8. Prinsip kedua: Kes-kes berisiko dikenalpasti dan diberi keutamaan untuk rawatan di hospital, manakala kes-kes yang ringan atau tanpa komplikasi akan dirawat sebagai pesakit luar dan dibolehkan tinggal di rumah. Mereka di minta untuk mengambil langkah kawalan jangkitan serta melaporkan sekiranya tanda-tanda penyakit bertambah teruk. Kes-kes yang berisiko tinggi seperti asthma, penyakit respiratori kronik, diabetes, kegagalan organ, obesiti dan ibu hamil akan dirawat hospital.
9. Semasa rawatan di rumah, mereka ini perlu diasingkan dan semua anggota keluarga perlu mengamalkan etika batuk yang baik, kebersihan tangan serta pengudaraan yang baik. Orang ramai juga diminta untuk mengamalkan pemakaian topeng muka (mask) jika mengalami gejala influenza, jika mengunjungi ke tempat-tempat yang sesak, dan juga jika menghidapi penyakit co-morbid atau keadaan yang menyebabkan tahap imuniti yang rendah.
10. Prinsip ketiga: Sistem ’triaging’ difasiliti kesihatan dan perubatan termasuk ’infection control’ diteruskan dan diperkukuhkan. Mereka yang bersimptom akan diasingkan daripada pesakit biasa. Rawatan antiviral diutamakan kepada pesakit yang berisiko serta penggunaan alat perlindungan diri kepada pesakit dan pekerja kesihatan. Pengurusan kes ini adalah bertujuan mengurangkan kematian dan penularan penyakit. Orang ramai diminta untuk terus dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri terutamanya rutin membasuh tangan dan etika batuk
11. Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur yang menjayakan kempen ini. Saya juga berharap agar ianya tidak berhenti di sini; malahan ritual menjaga kebersihan diri dan persekitaran ini dapat dijadikan budaya dalam kehidupan seharian kita.
Sekian, terima kasih.
No comments yet.