UCAPAN Y.B. DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA
MAJLIS SAMBUTAN HARI INOVASI KKM 2009
5 NOVEMBER 2009
Y.B. Datuk Rosnah binti Haji Abdul Rashid Shirlin
Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia
Y. Bhg. Dato’ Sri Dr. Hj. Mohd. Nasir bin Mohd. Ashraf
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia
Y. Bhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Hj. Mohd Ismail Merican
Ketua Pengarah Kesihatan
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha
Timbalan-Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan
Pegawai – Pegawai Kanan
Dato’ Dato’, Datin Datin, Tuan – Tuan dan Puan – Puan sekalian
Selamat Pagi dan Salam 1Malaysia
1. Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada pagi ini bagi menjayakan Majlis Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kesihatan Malaysia Tahun 2009. Saya mengucapkan tahniah kepada para pemenang serta syabas dan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur yang telah berjaya mengaturkan pelbagai program bersempena dengan majlis ini.
2. Saya juga amat gembira dengan kehadiran Ketua-ketua Jabatan serta warga KKM sekalian kerana ini mencerminkan satu iltizam yang tinggi, komitmen yang tidak berbelah bagi, rasa kekitaan dan semangat 1Malaysia yang wujud di kalangan penjawat-penjawat awam KKM.
3. Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi semua warga KKM kerana mulai dari hari ini Sambutan Hari Inovasi akan diadakan secara tahunan dan ia merupakan salah satu transformasi inovasi dalaman Kementerian. Saya yakin ia akan mendorong kita semua untuk terus bekerja keras bagi meningkatkan lagi inovasi dan mutu perkhidmatan dalam bidang masing-masing.
4. Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 17 Jun 2009 telah memutuskan bahawa sambutan Hari Kualiti yang dianjurkan di semua agensi kerajaan digantikan dengan sambutan Hari Inovasi. Ini sejajar dengan saranan Y. A. B. Perdana Menteri untuk memberi penekanan kepada aspek inovasi supaya produktiviti di sektor awam dapat ditingkatkan secara berganda.
5. Konsep baru ini diperkenalkan sebagai usaha pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem penyampaian awam, iaitu berasaskan inovasi dan kreativiti. Semua kementerian dan agensi pusat juga diminta mengadakan sambutan Hari Inovasi dengan memperlihatkan aktiviti-aktiviti bertemakan inovasi.
6. Inovasi dalam perkhidmatan awam adalah hasil cetusan idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam mana-mana aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi. Pelaksanaan idea-idea ini akhirnya dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan serta memberi faedah kepada pelanggan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
7. Anugerah Inovasi ini terdiri daripada empat kategori utama iaitu Anugerah Kualiti Perkhidmatan Kaunter (Hospital dan Klinik Kerajaan), Anugerah Kualiti Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (Teknikal dan Pengurusan), Anugerah Kualiti Pengurusan Kewangan dan Anugerah Kualiti Laman Web.
8. Sebagai contoh, Anugerah Kualiti Laman Web antara agensi KKM telah diadakan sejak tahun 2006 dan pertandingan ini dianjurkan bagi memilih laman web yang terbaik dari segi interaksi dengan pelanggan, mesra pelanggan dan perkhidmatan kepada pelanggan. Ia telah dinilai dan dianalisa oleh panel pengadil daripada JPA, MAMPU dan pegawai-pegawai KKM berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
9. Kita menyedari ekonomi yang berasaskan sumber dan tenaga buruh tidak lagi kompetitif dan bagi menjamin peningkatan ekonomi, kemakmuran dan kesejahteraan negara yang berterusan, anjakan strategik dan transformasi inovasi adalah amat diperlukan.
10. Kementerian telahpun mengambil inisiatif merancang dan mengadakan bengkel serta melaksanakan aktiviti-aktiviti yang sesuai. Ini dilaksanakan bagi meningkatkan budaya kerja berasaskan kreativiti dan inovasi merangkumi tiga nilai utama Budaya Korporat iaitu Profesionalisma, Perkhidmatan Penyayang dan Kerja Berpasukan.
11. Saya percaya dan amat yakin bahawa inovasi adalah penyumbang kepada kualiti kehidupan. Sebagai contoh, dengan adanya pelbagai peralatan canggih di hospital dan klinik kerajaan memudahkan rakyat mendapat perkhidmatan yang optima.
12. Walau bagaimana pun, tidak semua hasil penyelidikan ataupun inovasi yang dihasilkan sesuai digunapakai di dalam negara dan adakalanya lebih menguntungkan para pengguna di luar negara. Di sinilah berlakunya proses pemindahan teknologi dan bermulanya proses kerjasama antara satu negara dengan yang lain, dalam mengeratkan kerjasama di perigkat antarabangsa. Oleh itu, bagi anda yang terlibat dalam penyelidikan dan inovasi, peranan anda bukan sahaja di peringkat makmal, agensi atau institusi malah anda juga penyumbang ke arah kemajuan global.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
13. Kita tidak dapat lari dari hakikat bahawa daya saing kita di masa hadapan terletak pada kekuatan dan keupayaan sains dan teknologi kita. Kerajaan sedar bahawa daya inovasi yang kuat dan kukuh adalah perlu untuk merencanakan masa depan negara kita. Penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) adalah salah satu bukti keazaman Kerajaan untuk mencapai kekuatan dan keupayaan ini.
14. Saya yakin dan percaya bahawa Sambutan Hari Inovasi akan memberikan nafas baru yang boleh mendorong dan merangsang perubahan paradigma KKM sejajar dengan usaha warga KKM dalam meningkat dan memantapkan lagi seluruh ekosistem KKM yang sedia ada ke arah anjakan inovasi yang lebih berkesan dan bermakna.
15. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan syabas kepada ahli jawatankuasa penganjur Sambutan Hari Inovasi Kementerian Kesihatan Malaysia 2009 kerana telah berjaya menganjurkan majlis yang penuh meriah ini dengan jayanya.
Sekian, terima kasih.
RSS Feed
Facebook
Posted in 
