Majlis Perasmian Hari Jururawat Antarabangsa 2009

UCAPAN Y.B. DATO’ SRI LIOW TIONG LAI

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

 

PADA MAJLIS PERASMIAN HARI JURURAWAT ANTARABANGSA 2009

 

DI DEWAN MERDEKA, PUSAT PERDAGANGAN SYED PUTRA,

KUALA LUMPUR , 12 MEI 2009

   

Y.Bhg Tan Sri Dato’ Seri Dr Hj Mohd Ismail Merican,

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Y.Bhg Puan Hjh Fathilah Hj Abd Wahab,

Pengarah Kejururawatan Malaysia.

Yang Berusaha Matron Hjh Ramziah Hj Ahmad,

Presiden Persatuan Jururawat Malaysia.

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang dihormati sekelian.

Selamat pagi dan Salam Sejahtera.

 

1.   Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan Jururawat Malaysia kerana berjaya menganjurkan Hari Jururawat Antarabangsa yang jatuh pada 12 Mei setiap tahun. Terima kasih kerana menjemput saya untuk merasmikan majlis yang gilang gemilang dan bersejarah ini. Saya mengucapkan Selamat Hari Jururawat kepada semua jururawat, walau di mana mereka berada. Serangkap pantun untuk puan-puan semua:

 

Bunga kebangsaan bunga raya,

Disemat gadis di sebelah kanan.

Jururawat Malaysia segak bergaya,

Beri khidmat dengan pengorbanan.

 

2.   Saya dimaklumkan bahawa tema Hari Jururawat pada tahun ini ialah “Delivering Quality, Serving Communities: Nurses Leading Care Innovations”. Innovasi, pada pendapat saya, adalah tunjang bagi mengekal dan menambahbaikkan mutu penjagaan. Jururawat perlu sentiasa mencari inovasi untuk mendapatkan maklumat baru dan cara-cara yang lebih baik bagi promosi kesihatan, pencegahan penyakit, penjagaan dan penyembuhan atau rawatan. Walau pun innovasi tidak memerlukan “high tech” untuk mendapat impak yang tinggi, ianya memerlukan kreativiti dan imaginasi yang hebat untuk menghasilkan kejayaan.

 

3.   Perubahan dalam demografi dan beban penyakit terus mengkehendaki  keperluan-keperluan baru dari sistem kesihatan kita. Keperluan yang bertambah ke atas perkhidmatan kesihatan menyebabkan wujudnya tekanan yang semakin meningkat ke atas sumber-sumber yang semakin berkurangan.  Kekurangan sumber-sumber ini, termasuk kekurangan tenaga kerja, harus menjadi satu pendorong inovasi.

 

4.   Keperluan inovasi adalah lebih terdesak di negara membangun seperti Malaysia. Cabaran-cabaran berkaitan tidak mungkin boleh dihadapi tanpa membangunkan cara-cara baru untuk mengatasi masalah-masalah dan menyediakan penjagaan. Bak kata Perdana Menteri kita baru-baru ini, “Business is not as usual.” Jadi, kita semua perlu “think out of the box” dan meningkatkan kreativiti untuk menghasilkan inovasi yang dapat membantu kerja harian kita.

 

5.   Sesungguhnya, inovasi dalam amalan klinikal patutlah menjadi norm di dalam sistem penjagaan kesihatan kita, dengan kemajuan yang pesat dalam peralatan dan teknologi perubatan. Jururawat di masa kini perlu mengendalikan peralatan berteknologi tinggi dan mengaplikasikan teknik-teknik klinikal baru dan produk farmaseutikal baru. Di samping itu, jururawat-jururawat bekerja di semua peringkat perkhidmatan dengan pelbagai  jenis pesakit, keluarga, masyarakat, kakitangan penjagaan kesihatan dan kakitangan dalam sektor-sektor lain. Oleh yang demikian, jururawat berada dalam keadaan istimewa untuk menyediakan penyelesaian yang ‘creative’ dan berinovasi yang boleh mewujudkan perbezaan sebenar dalam kehidupan harian pesakit-pesakit, pertubuhan-pertubuhan, masyarakat dan ‘profession’ kejururawatan itu sendiri. Justeru itu, jururawat menghadapi masa depan yang mencabar tetapi penuh dengan peluang-peluang baru.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

 

6.   Kalaulah hospital dan klinik menjadi gelanggang dalam pertarungan untuk menyelamatkan nyawa dan menjamin kesihatan awam, maka para jururawat sudah tentunya menjadi para askar di barisan hadapan. Sesungguhnya peranan jururawat sangatlah penting. Rakyat inginkan kepuasan dan apa yang paling penting ialah perkhidmatan yang diberikan mestilah dapat memberi kepuasan dan boleh mencapai matlamat yang diharapkan. Dalam pada itu, pengamalan “soft skills” merupakan satu elemen yang penting di dalam perawatan kejururawatan yang memerlukan pemantauan dari masa ke masa.

 

7.   Bagi meningkatkan “soft skills”, Bahagian Kejururawatan telah memperkenalkan KONSEP 7S yang perlu diamalkan oleh semua anggota kejururawatan di seluruh negara, iaitu SENYUM, SALAM, SEGERA, SENTUH, SENSITIF, SOPAN dan SEGAK yang telah dilancarkan pada tahun 2006 dan seterusnya ditambah pula dengan 3S pada tahun 2008 iaitu SELIA, SELIDIK DAN SEMANGAT. Seramai 21,500 jururawat telah diberi kesedaran dan latihan mengenai “soft skills” ini.

 

8.   Untuk mengetahui keberkesanan Konsep 10S yang diperkenalkan ini, satu kajian telah dijalankan di major specialist hospitals dan didapati pencapaian bagi semua elemen adalah dalam lingkungan 85% hingga 95%, kecuali elemen segera yang hanya mencapai 65%. Di sini saya ingin menyeru kepada semua jururawat supaya dapat memberi perhatian dengan segera kepada pelanggan dan di waktu yang sama jururawat perlu bertindak secara rasional mengikut keutamaan dan keperluan pesakit. Dalam perkataan lain, pesakit kritikal hendaklah diberi keutamaan. Demi memurtabatkan profesyen kejururawatan, setiap jururawat wajib melayan pesakit sebagaimana kita mahu kita dilayan jika kita terbaring di hospital.

 

9.   Pemantauan yang dibuat oleh Bahagian Kejururawatan terhadap aduan awam pada tahun lepas (2008) menunjukkan sebanyak 311 aduan yang diterima melibatkan jururawat, di mana 41% aduan berkaitan dengan mutu perkhidmatan dan 23% adalah berkaitan dengan tingkah laku. Negeri Sabah menerima 19% daripada aduan-aduan ini, Perak 17.4%, Johor 15% dan Terengganu sebanyak 14%. Maklumat dan data ini menunjukkan bahawa usaha perlu dipergiatkan lagi untuk meningkatkan kesedaran dan pengamalan “soft skills” di kalangan jururawat.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

10.   Kepimpinan yang mempunyai visi juga diperlukan untuk membina perkhidmatan yang boleh memupuk semangat dan mengekalkan komitmen jururawat. Kepimpinan yang kuat diperlukan di setiap peringkat. Ia diperlukan untuk maju ke hadapan. Diperlukan pemimpin-pemimpin jururawat yang boleh dan mampu menetapkan arah tuju, menarikkan semangat, menigkatkan motivasi dan memberi kuasa kepada pasukan bagi mencapai matlamat-matlamat dan menghasilkan peningkatan sebenar dalam amalan klinikal dan kualiti perkhidmatan.

 

11.   Usaha ke arah ini dapat diterapkan dengan mengadakan program “Mentor-Mentee” bukan sahaja untuk jururawat yang baru bertugas dan juga jururawat yang masih memerlukan bimbingan. Sehingga tahun 2008, seramai 11,000 jururawat di hospital dan klinik kesihatan telah mengikuti program Mentor-Mentee yang dimulakan pada tahun 2006, dan usaha ini akan diteruskan di masa hadapan.

 

Tuan-tuan dan puan-puan,

 

12.   Sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ahli-ahli Penganjur Persatuan Jururawat Malaysia kerana menganjurkan majlis gemilang ini, dan Selamat Menyambut Hari Jururawat Antarabangsa 2009. Saya berharap agar semua jururawat akan dapat manfaat daripada ceramah-ceramah yang akan disampaikan nanti. Maka, dengan sukacitanya saya merasmikan ”Hari Jururawat Antarabangsa 2009” ini.

Sekian, terima kasih.

 

Both comments and pings are currently closed.

No Responses to “Majlis Perasmian Hari Jururawat Antarabangsa 2009”

  1. BroRemy85 says:

    Saya seorang Jururawat Terlatih U29 (Pendidikan Kesihatan) di Unit Pendidikan Kesihatan dan Pesakit berasa berbesar hati dengan ucapan Y.A.B Menteri Kesihatan pada hari Jururawat yang lepas. Satu isu yang saya tertarik adalah isu berkaitan dengan aduan awam terhadap Jururawat.
    Kita tahu bahawa nisbah Jururawat pada masa sekarang adalah 1:750. bermakna satu jururawat untuk 750 orang pesakit.Jauh daripada sasaran kementerian yang menyasarkan 1:200. Ini menyebabkan bebanan kerja yang terpaksa di tanggung oleh kami adalah dua kali ganda. Oleh yang demikian sebagai manusia biasa dan bukannya sebagai mesin kami juga mempunyai masalah untuk mengimbangi kerja dan juga hal peribadi. di mana kadang kala jururawat menghadapi masalah keluarga,dengan bebanan kerja yang berat dan kerenah pesakit yang pelbagai menyebabkan tekanan di mana perbuatan jururawat agak tidak profesional seperti menengking pesakit. Juga dengan keadaan ekonomi semasa menyebabkan peningkatan kos sara hidup terutamanya di bandar-bandar besar menambahkan lagi tekanan. Soalan saya, apakah pihak kementerian benar-benar ikhlas mengambil berat terhadap kami iaitu jururawat-jururawat yang berkhidmat dengan kerajaan dan apakah langkah-langkah yang sedang di ambil oleh pihak kementerian untuk mengatasi masalah tersebut dan apakah pihak kementerian bercadang untuk menilai semula tangga gaji jururawat yang dilihat masih rendah berbanding dengan negara-negara lain terutamanya Saudi Arabia yang menyebabkan pengaliran keluar jururawat berpengalaman negara ke sana disebabkan gaji adalah lebih tinggi dan berpatutan dari apa yang diterima di negara sendiri?
    sekian soalan dan komen saya.