Pelancaran Program 10,000 Langkah Sehari Bersama MySihat Dan Berita Harian Dengan Kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia

UCAPAN YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

 SEMPENA PELANCARAN PROGRAM 10,000 LANGKAH SEHARI
BERSAMA MYSIHAT DAN BERITA HARIAN
DENGAN KERJASAMA KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

23 JULAI 2011

Yang Berusaha Pengerusi Majlis.

 

Y. Bhg. Dr. Yahya Bin Baba,

Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia.

 

Y. Bhg. Dato Mior Kamarul Shahid,

Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian.

 

Dif-dif kehormat, Dato-Dato, Datin-Datin,

 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

 

 

Selamat Pagi dan Salam 1 Malaysia,

 

 

1.         Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan Program 10,000 Langkah Sehari Bersama MySihat dan Berita Harian, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia, pada pagi ini.

 

2.         Saya juga berasa amat bangga dan bertuah kerana dapat bersama-sama dengan semua peserta dalam suasana majlis yang meriah ini. Saya amat gembira melihat kesungguhan serta komitmen yang ditunjukkan oleh jawatankuasa penganjur dalam menjayakan karnival ini. Saya difahamkan perancangan untuk melaksanakan program ini dilakukan dalam masa yang singkat. Namun, dengan usaha dan kerjasama yang erat, akhirnya kita semua dapat berjumpa pada pagi ini. Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.

 

3.         Usaha untuk melahirkan program sebegini merupakan satu usaha yang murni kerana ianya secara langsung dapat memberi kesedaran kepada semua pihak bahawa menjaga kesihatan itu sebenarnya adalah hak dan tanggungjawab bersama.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

4.         Seiring dengan kemajuan teknologi pada masa kini, corak kehidupan masyarakat telah berubah. Tekanan hidup dan amalan kehidupan yang tidak sihat telah menyebabkan terjadinya pelbagai jenis penyakit seperti masalah jantung dan diabetes. Salah satu punca utama yang menyebabkan penyakit-penyakit tersebut adalah kerana masalah obesiti ataupun kegemukan. Ia merupakan faktor risiko yang menyumbang kepada pelbagai jenis penyakit kronik yang lain. Fenomena ini bukan sahaja terjadi kepada orang dewasa tetapi juga ketara di kalangan remaja dan kanak-kanak. Gaya hidup yang sedentari menjadi salah satu punca mengapa masalah obesiti atau kegemukan terjadi di kalangan masyarakat di Malaysia pada masa ini.

 

5.         Menerusi Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan III pada tahun 2006, didapati prevalen berlebihan berat badan di kalangan rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas meningkat kepada 29.1% berbanding hanya 16.6% pada Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan II pada tahun 1996. Manakala prevalen obesiti pula turut meningkat pada tahun 2006 dengan jumlah sebanyak 14.2% berbanding 4.4% sahaja pada tahun 1996. The Malaysian NCD Surveillance 2005/2006 turut melaporkan prevalen obesiti di kalangan 2,572 rakyat Malaysia yang berumur 25 hingga 64 tahun adalah sebanyak 48.6%, dengan pecahan 57.1% bagi golongan wanita dan selebihnya adalah lelaki.

 

6.         Selaras dengan National Strategic Plan for Non-Communicable Diseases (NSP-NCD) yang dihasilkan Kementerian Kesihatan Malaysia, melalui strategi yang pertama iaitu promosi dan pencegahan, Kementerian Kesihatan telah meperkenalkan Kempen Berjalan 10,000 langkah pada tahun 2009. Ini merupakan satu bentuk intervensi yang bertujuan untuk menggalakkan masyarakat menjadi lebih aktif dan seterusnya menjadikan amalan berjalan kaki sebagai satu rutin harian.

 

7.         Saya dimaklumkan program pada hari ini adalah kesinambungan daripada Kempen Berjalan 10,000 langkah tersebut. Saya amat berbangga dengan inisiatif daripada MySihat dan Berita Harian yang mahu mempromosikan 10,000 langkah sehari kepada seluruh masyarakat Malaysia.

 

8.         Sasaran 10,000 langkah sehari boleh memberi banyak faedah kepada kita semua. Antaranya, dapat mengurangkan risiko penyakit jantung, mengurangkan risiko penyakit diabetes, mengurangkan risiko osteoporosis, mengurangkan kanser usus besar, payudara dan prostat, menurunkan paras kolesterol dalam darah, mengawal tekanan darah, membantu mengawal berat badan dan juga dapat mengurangkan stres.

 

9.         Ingin saya kongsikan sedikit fakta berjalan 10,000 langkah;
i.        Berjalan 10,000 langkah bersamaan 6 hingga 8 kilometer perjalanan tanpa henti, dan
ii.        1 kilometer secara puratanya bersamaan 1,200 langkah.

 

10.       Selepas Putrajaya, program ini akan berlangsung di 13 daerah lain iaitu:

  • Bentong, Pahang;
  • Kuala Terengganu, Terengganu;
  • Melaka;
  • Muar, Johor;
  • Seremban, Negeri Sembilan;
  • Arau, Perlis;
  • Sungai Petani, Kedah;
  • Teluk Intan, Perak;
  • Kuching, Sarawak;
  • Kota Kinabalu, Sabah;
  • Kota Bharu, Kelantan;
  • Petaling Jaya, Selangor; dan
  • Kuala Lumpur.

 

11.       Saya berharap dengan promosi secara besar-besaran di semua daerah yang terlibat, seluruh masyarakat akan mempraktikkan amalan 10,000 langkah sehari selain daripada mendapat maklumat yang tepat tentang panduan berjalan secara betul. Walaupun berjalan kaki adalah salah satu kaedah senaman pilihan yang mudah, murah dan selamat untuk dilakukan oleh semua peringkat umur, namun tanpa panduan yang betul, mungkin kesannya sukar untuk dilihat. Malah, mungkin juga boleh terdedah kepada kecederaan jika tidak mempraktikkan panduan yang betul.

 

12.       Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjaga dan mengekalkan nikmat kesihatan yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada kita semua dengan sebaik mungkin.

 

13.       Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Program 10,000 Langkah Sehari Bersama MySihat dan Berita Harian, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Sekian, terima kasih.

Both comments and pings are currently closed.

Comments are closed.